SEJARAH MASJID AYESHA

 SEJARAH ISLAM : MASJID AYESHA , KOK LANAS 

NUR NADHIRAH BINTI ZULKEFFLI (04DAT21F1034)

NOR IRDINA BINTI NORDDIN ( 04DAT21F1085)

AINUL JAUZAA BINTI KAMARUDIN (04DAT21F1070)

NUR SAFFIYA IRNA BINTI SUKRI (04DAT21F1082)

NAMA PENSYARAH : PUAN ROHANA BINTI ABDULLAH


BIODATA MASJID

 

Menyusuri jalan utama dari Machang ke Kota Bharu, orang ramai pastinya akan terpegun melihat masjid yang tersergam indah seakan-akan sebuah istana di negara Eropah.

     Terletak di tengah-tengah pekan Kok Lanas berhampiran Politeknik Kok Lanas, ia dikenali sebagai Masjid Ayesha, yang mana seni binanya amat unik dengan bentuk ringkas tapi menarik. Uniknya, masjid berkenaan mempunyai lima menara tinggi,  dan di tengah-tengahnya dihiasi dengan satu jam, juga seumpama masjid dalam taman yang diindahkan lagi dengan pelbagai bunga-bungaan.  Bukan sahaja nampak cantik dari pandangan luar, bahkan ketika melangkah masuk ke dalam masjid, kita akan rasa lebih tenang disambut dengan haruman bunga-bungaan dan suasana mendamaikan. Di sebalik keindahan Masjid Ayesha ini, tidak ramai tahu, ia sebenarnya diilhamkan oleh kolumnis Sinar Harian, Allahyarham Tan Sri Abdullah Ahmad, atau lebih dikenali sebagai Dollah Kok Lanas, yang juga bekas Ahli Parlimen Machang. Allahyarham meninggal dunia akibat kanser.

     Berbalik kepada Masjid Ayesha, bukan sahaja reka bentuk, bahkan nama Masjid Ayesha juga adalah pilihan Allahyarham sendiri yang mengabadikan nama insan tersayang, iaitu ibunya. Allahyarham bukan sahaja berusaha untuk mewujudkan masjid bagi kemudahan orang ramai tetapi di dalam kawasan kompleks seluas dua hektar itu juga, beliau turut menyediakan dewan, bilik kuliah, perpustakaan dan penginapan untuk imam serta bilal.

Kawasan masjid yang dibina dengan perbelanjaan RM6 juta itu juga dilengkapi dengan kuarters penginapan beliau yang sekali-sekala pulang ke negeri kelahirannya.

 


LATAR BELAKANG :

 

Mengikut cerita pengerusi masjid, Mohammad Awang, tapak masjid berkenaan pada asalnya adalah kawasan kilang ubat nyamuk dan Allahyarham berusaha membeli tanah berkenaan sekitar tahun 1970-an, daripada peniaga yang didakwa menghadapi masalah kewangan. Kemudiannya, terdapat individu yang ingin menggunakannya untuk membina bangunan pejabat, namun Allahyarham mengemukakan hasrat beliau bagi membina sebuah masjid demi kepentingan orang ramai. 

     Mohammad memberitahu, Allahyarham bersama arkiteknya kemudiannya menyiapkan pelan masjid yang keseluruhannya diterapkan idea beliau sendiri. “Dia beritahu saya, pelan masjid sudah ada. Dia nak bina masjid dan kena uruskannya dengan cepat,” katanya. Berbeza dengan kubah-kubah masjid lain, Mohammad memberitahu, bentuk kubah tiga segi yang dibina dan dicat dengan warna hijau gelap itu adalah kehendak arwah sendiri. “Saya tanya kenapa tidak ikut masjid lain, Tan Sri bagi tahu, beliau tidak mahu bentuk kubah macam ‘bawang’ dan sukakan seni bina yang memartabatkan seni ukir Melayu seperti Masjid Kampung Laut, asalnya,” katanya.


Pembangunan keseluruhan Masjid Ayesha mengambil masa kira-kira 4 tahun sebelum pintunya dibuka bagi solat fardhu jemaah bagi penduduk setempat .

 

     Sementara itu, Naib Pengerusi Masjid Ayesha, Ahamed Daud juga memberitahu, Allahyarham sangat sayangkan masjid yang mula dipecah tanah pada 26 Jun 2009 itu dan sentiasa pesan jaganya dengan baik. “Setiap masa, Tan Sri ingatkan kami semua jawatankuasa agar menjaga masjid dan mengimarahkan rumah ALLAH ini setiap masa,” katanya yang juga jiran Allahyarham.

 

     Masjid itu mula digunakan pada 2012 dan mula dijadikan tempat untuk menunaikan solat Jumaat bagi penduduk sekitar bermula 14 Jun 2014. Sambil mengakui merasai kehilangan Allahyarham, Ahamed memberitahu, sikap Tan Sri yang serius dalam semua hal menyebabkan orang ramai dapat menggunakan masjid dalam keadaan lebih selesa berbanding sebelumnya. 


BIODATA PENGASAS :

 

PENGASAS MASJID AYESHA : TAN SRI ABDULLAH AHMAD

Almarhum Tan Sri Abdullah dilahirkan di pada 4 Julai, 1937 di Pulau Chondong, Kok Lanas, Kelantan. Almarhum telah menerima pendidikan dari institusi pendidikan ulung seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar; Universiti Cambridge, England dan juga Universiti Harvard, Amerika Syarikat.

Almarhum merupakan bekas Ahli Parlimen Machang dan pernah berkhidmat sebagai sebagai Timbalan Menteri yang pertama di Jabatan Perdana Menteri, Duta Khas ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pengarah Eksekutif Kumpulan New Straits Times dan Berita Harian.

Almarhum telah menghembuskan nafas terakhir pada 7 Ramadan, 1437H (12 Jun, 2016).




Jenazah bekas Setiausaha Politik Tun Abdul Razak Hussein iaitu Tan Sri Abdullah Ahmad selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ayesha, Kok Lanas di Kota Bharu. Jenazah Allahyarham Abdullah, 79, selamat disemadikan pada pukul 11.30 pagi selepas selesai solat jenazah di masjid berkenaan yang dibina oleh Abdullah. Allahyarham meninggal dunia pukul 1.15 tengah hari di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur akibat penyakit kanser.

Dari kediamannya di Jalan U-Thant Kuala Lumpur, jenazah Allahyarham dibawa ke Subang untuk diterbangkan dengan pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa dan kemudiannya dibawa dengan van jenazah ke Masjid Ayesha. Hadir sama di majlis pengebumian itu ialah isteri Allahyarham, Puan Sri Fauzah Mohamed Derus dan tiga orang anak iaitu dua lelaki, Adhha Amir, 47; dan Ahmad Fuad, 42; serta seorang anak perempuan Hamdia Munirah, 45. Turut hadir Tengku Temenggung Kelantan, Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz, Anggota Dewan Undangan Negeri Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad serta anggota keluarga, rakan dan penduduk sekitar Kok Lanas.

 

     Sementara itu, Fauzah berterima kasih kepada semua pihak termasuk TUDM yang membantu melancarkan majlis pengkebumian jenazah suaminya yang turut dikenali sebagai 'Dollah Kok Lanas'. "Kami tidak dapat membalas jasa baik semua pihak yang membantu menguruskan jenazah Allahyarham. Suami saya telah kembali ke rahmatullah dengan mudahnya dengan izin Allah SWT, semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat," katanya. Beliau berkata Allahyarham telah membuat wasiat supaya jenazahnya dikebumikan di Kelantan iaitu di kawasan Masjid Ayesha yang dibinanya selain meminta anggota keluarga menguruskan masjid tersebut selepas pemergiannya. "Saya bersyukur kerana dapat menunaikan wasiat arwah supaya jenazahnya dikebumikan di sini, Alhamdulillah, syukur," katanya.


Mengenai masjid yang dianggarkan bernilai RM6 juta itu, Fauzah berkata Allahyarham seorang yang suka membuat kebajikan dan selain pembinaan masjid tersebut sudah terdapat tiga surau yang dibina di kawasan Machang. Beliau berkata selain sumbangan dari Allahyarham, pembinaan masjid tersebut juga hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan sahabat-sahabat Allahyarham. "Beliau sentiasa mencari jalan untuk mendapatkan sumbangan bagi pembinaan masjid ini termasuk daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan sahabat-sahabat Allahyarham, ini kerana beliau tidak mahu bergantung kepada dana dari Majlis Agama Islam yang sudah banyak tanggungjawabnya," katanya.

     Imam 1 masjid tersebut, Abdul Hashim Abdul Aziz berkata Allahyarham Abdullah adalah seorang dermawan dan mengambil berat mengenai kebajikan terutamanya penduduk di sekitar Kok Lanas. "Arwah beli tanah ini (tapak masjid) dan mewakafkannya untuk dibuat masjid, sekarang ini ramai jemaah beribadat di sini tambahan pula ia terletak ditepi jalan utama Kota Baharu-Machang," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kok Lanas, Nik Zamri Nik Man berkata Allahyarham telah mempopularkan Kok Lanas kerana beliau lebih dikenali dengan panggilan 'Dollah Kok Lanas'. Beliau berkata walaupun Allahyarham banyak tinggal di Kuala Lumpur namun boleh dikatakan setiap bulan beliau pulang ke Kok Lanas dan destinasi utamanya ialah di masjid itu untuk bertemu dan bertanya khabar bersama para jemaah.

 

KELEBIHAN MASJID AYESHA :

·      Berperanan sebagai pusat ibadah yang unggul dari segi pengimarahan dan pembangunan ke arah menzahirkan ummah yang bertaqwa

·      Melaksanakan pengurusan masjid yang berkualiti bagi merealisasikan  penghayatan dan pusat ilmu .

·       Memperkasakan aspek dakwah dan Pendidikan islam

·       Memupuk semangat kekitaan dan kekeluargaan serta budaya muafakat di Kalangan warga masjid Ayesha

·      Dapat mewujudkan biro-biro utama yang mengatur dan melaksanakan program dan aktiviti sesuai dengan permintaan kumpulan sasaran .

·       Setiap kegiatan yang dikelolakan oleh pihak Pengurusan Masjid Ayesha dirancang secara teliti dari segi impak terhadap masyarakat, keperluan semasa serta kemampuan ahli masyarakat.

·       Mempelbagaikan kegiatan untuk memakmurkan masjid dalam meningkatkan syiar Islam.

·       Membentuk unit-unit kerja yang bergerak dalam bidang kewangan dan bisnes untuk mencari dana bagi membiayai pengelolaan masjid dan untuk kemaslahatan umat.

·       Memaksimakan kepakaran dan gedung ilmu yang terdapat di Negeri Kelantan

·      Memastikan terjaganya kesucian, kebersihan, dan ketertiban masjid.


 

Cara untuk menarik golongan remaja ke masjid :

Bagaimanakah cara dalam menggalakkan anak-anak muda lebih ramai mendekati masjid berbanding golongan tua dan untuk mengelakkan mereka membuang masa di tempat lain.

Antara cabaran besar yang sedang dihadapi oleh institusi masjid di negara ini pada masa kini ialah untuk menarik lebih ramai generasi muda agar kembali memakmurkan masjid. Tugas ini sememangnya tidak mudah, memandangkan kecenderungan dan kesibukan orang-orang muda yang lebih terpaut kepada perkara-perkara lain yang lebih "menyeronokkan". Mereka nampaknya lebih gemar menonton perlawanan bola sepak di stadium, bermain permainan komputer di kafe siber, merempit di jalan raya, bertemu janji dengan kekasih di taman, menonton rancangan realiti berbentuk hiburan di televisyen dan lain-lain lagi berbanding untuk bertandang ke masjid .





Pada pendapat kami , sistem sokongan daripada institusi masjid juga perlu diambil kira jika hendakkan generasi muda berdamping dengan masjid. Lebih khusus lagi, aktiviti dan persekitaran sesebuah masjid itu hendaklah sesuai dengan citarasa dan keperluan orang-orang muda. Penyediaan infrastruktur dan jenis program yang tepat, kontemporari dan selaras dengan kehendak syarak adalah penting jika kita hendak memulakan suatu gerakan mengembalikan semula generasi muda ke masjid. Ingatlah kata-kata Umar bin al-Khatab, "Didiklah anakmu sesuai dengan zamannya..." Berpandukan sedikit pengalaman yang saya timba sewaktu bergelumang dengan dunia dakwah remaja suatu masa dahulu, terdapat beberapa jenis aktiviti yang boleh dilaksanakan oleh institusi masjid untuk ditujukan kepada generasi muda masa kini.

Antaranya ialah:

1.SUKAN

 Majoriti anak muda sekarang, terutamanya lelaki memang menggemari aktiviti sukan. Sesuai dengan keadaan ini, institusi masjid boleh mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan aktiviti berkaitan sukan yang membabitkan anak-anak muda. Sukan seperti bola sepak, futsal, bola jaring, badminton, bola tampar, sepak takraw, ping pong, malah sukaneka dan sukan rakyat adalah antara jenis sukan yang boleh dipertimbangkan untuk dijalankan. Lebih cantik lagi kalau dapat diadakan pertandingan sukan antara masjid, pasti bertambah kemeriahannya dengan penglibatan anak muda. Sewaktu menjalankan aktiviti tersebut, selitkanlah juga sedikit tazkirah pada mana-mana ruangan yang sesuai. Tekankan tajuk-tajuk seperti kepentingan beriadah, menjaga aurat, bekerjasama dalam satu pasukan, hatta peranan generasi muda memakmurkan masjid.

 

2.KESENIAN DAN KEBUDAYAAN

 

Kesenian dan kebudayaan Ramai juga anak muda yang meminati bidang seni. Justeru, bagi meraikan fitrah anak muda ini, aktiviti berbentuk kesenian dan kebudayaan boleh dianjurkan oleh pihak masjid. Contoh aktiviti adalah seperti nasyid, kompang, tulisan khat, seni mempertahankan diri, pentomen dan teater. Saya tertarik dengan satu pendekatan yang dibawa oleh sebuah kumpulan yang mempromosikan teater berjudul "Menunggu Kata Dari Tuhan" di masjid-masjid di seluruh negeri Selangor sejak tiga tahun lalu. Sambutannya cukup memberangsangkan dan ternyata mampu menarik anak muda untuk menyaksikannya lantas mendekatkan mereka dengan institusi masjid .

 

3. SEMINAR,BENGKEL,FORUM DAN KEM


Walaupun aktiviti-aktiviti ini bunyinya sedikit formal, namun jika pengisian dan pendekatannya segar dan menepati selera orang muda, saya pasti aktiviti sebegini juga mampu menarik minat remaja untuk berkunjung ke masjid. Modul-modul alaf baru berkaitan generasi muda boleh diketengahkan seperti ‘Keindahan Bersamamu’, ‘Anda Bijak Jauhi Zina’, ‘Reproduksi Remaja’, ‘S.P.I.E.S’, ‘Remaja Raikan Ramadan’ dan ‘Hidup Zero Alasan’. Di samping itu lebih baik lagi jika dapat dilibatkan figura dan selebriti terkenal yang cenderung kepada Islam seperti Dato' Dr Mohd Fadzilah Kamsah, Prof. Dr. Muhaya Mohamad, Dr Harlina Halizah Siraj, Wardina Safiyyah, Asyraf Muslim, Akil Hayy, Ahmad Fedtri Yahya, Irma Hasmie dan Heliza Helmi, juga artis-artis nasyid seperti Rabbani, Raihan, In-Team, Nowseeheart dan lain-lain lagi.





Ulasan